Kerjaya Jururawat

Kerjaya jururawat adalah antara kerjaya yang mendapat sambutan di kalangan para pelajar yang telah menamatkan SPM. Ramainya para pelajar yang memilih kejururawatan akhirnya menjadi faktor semakin banyaknya kolej kejururawatan mahupun mana-mana institusi pengajian yang menawarkan kursus kejururawatan. Tidak dinafikan bahawa peluang bekerja sebagai jururawat mempunyai kelebihan yang tersendiri, bergantung kepada sektor mana yang diceburi.

Sama ada sektor swasta atau pun sektor kerajaan, peluang kerjaya jururawat sebenarnya sentiasa terbuka lantaran banyaknya hospital baru yang muncul bak cendawan saban tahun yang pastinya memerlukan khidmat para jururawat.

Ditambah pula dengan kerajaan sendiri sentiasa menyediakan platform perkhidmatan perubatan seperti Klinik 1 Malaysia dan memantapkan hospital dan klinik kesihatan kerajaan sedia ada.

Sebenarnya pihak kerajaan menyasarkan 130,000 jururawat diperlukan menjelang tahun 2020. Ini satu fakta yang memberi berita gembira kepada mereka yang masih berasa ragu-ragu dengan peluang yang ada dari kerjaya jururawat yang cukup menarik ini.

Realiti menunjukkan kemajuan dan kecanggihan perkhidmatan perubatan hari ini masih tidak cukup dari segi bantuan dari para jururawat. Lantaran itu, dapat dilihat bahawa kerjaya jururawat adalah satu bidang kerjaya yang masih segar dan menjadi keperluan setiap tahun dalam misi kerajaan memastikan rakyatnya dirawat dengan rawatan dan ubat-ubatan yang sewajarnya.

KELEBIHAN MENJADI JURURAWAT

Terdapat banyak kelebihan dan faedah dari bidang kejururawatan ini. Walaupun secara kasarnya boleh dinilai bahawa kejururawatan memerlukan kesungguhan dan dedikasi dalam melayan pesakit sehingga melangkaui tanggungjawab sepatutnya, bidang ini mempunyai banyak kelebihan yang penulis akan cuba senaraikan sebagaimana berikut:

1 – Tidak Memerlukan Bakat Tetentu

Kerjaya jururawat tidak memerlukan kemahiran yang kompleks atau bakat. Ia boleh diuruskan dengan sikap yang positif dan ketekunan mempelajari ilmu kejururawatan yang tepat lagi praktikal. Oleh sebab itulah, penulis memandang bahawa bidang ini sesuai bagi sesiapa sahaja yang benar-benar berminat mahu menjadi seorang jururawat yang bermanfaat dan menyumbang kepada masyarakat.

2 – Manfaat Penjawatan

Bagi mana-mana pelatih kejururawatan yang mendapat peluang berkhidmat di sektor kerajaan, sudah tentu ia mempunyai banyak manfaat sebagaimana seorang penjawat jawatan perolehi. Antaranya adalah kenaikan gaji yang konsisten setiap tahun, imbuhan tetap khidmat awam, elaun sara hidup, elaun tetap perumahan dan kelayakan cuti tahunan yang cukup menarik. Perkara seperti inilah yang banyak menarik para jururawat untuk menyumbang bakti di hospital kerajaan atau klinik kerajaan.

3 – Pelbagai Elaun & Kemudahan

Malah, dengan pihak hospital yang sentiasa mahukan jururawat bekerja dengan jadual yang cukup pelbagai dan kadangkala agak fleksibel, ia memberikan peluang kepada para jururawat untuk mendapat elaun kerja lebih masa apabila berkhidmat melebihi jumlah jam minima yang diwajibkan oleh pihak majikan. Dengan kerajinan berkhidmat melayan pesakit sehingga terpaksa memerah keringat kerana bekerja lebih masa, pastinya segala penat lelah mereka akan dibayar dengan jumlah elaun yang berbaloi ~ cukup untuk digunakan bagi menabung untuk simpanan tambahan. Itu peluang menambah pendapatan bagi seorang jururawat.

Malah, jururawat yang bekerja di sektor kerajaan juga mempunyai kelebihan seperti mudah membuat pinjaman terutamanya pinjaman perumahan. Dengan peluang dan kemudahan sebegini, jururawat boleh memanfaatkan peluang ini untuk kehidupan keluarga yang baik dan lebih selesa.

CALON PERLU LULUS TEMUDUGA JURURAWAT

Menjadi seorang jururawat tidaklah semudah disangka. Dan tidak semestinya memasuki bidang kejururawatan di sektor kerajaan memerlukan ‘kabel’ tertentu, kerana sebenarnya proses pemilihan jururawat dan ujian temuduga dijalankan dengan kriteria dan syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan mahupun dari sudut pandang pihak hospital itu sendiri.

Sebagai seorang yang bijak memandang peluang, ciri-ciri dan kriteria-kriteria yang mereka letakkan ini perlulah difahami dengan baik supaya para calon yang memilih kerjaya jururawat mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk lulus dengan cemerlang.

Menceburi bidang kerjaya jururawat memerlukan dedikasi dan kesanggupan melayan pelbagai kerenah pesakit dengan sabar dan penuh sikap penyayang. Maka apabila telah benar-benar membuat keputusan untuk memilih kerjaya jururawat sebagai kerjaya pilihan, maka belajarlah dengan bersungguh-sungguh dan jalanilah latihan dengan penuh minat agar kelak kerja-kerja kejururawatan dapat dilakukan dengan baik dan sempurna.

BAGAIMANA LULUS TEMUDUGA JURURAWAT

‘Kunci’ utama untuk memasuki lapangan kejururawatan adalah lulus temuduga kejururawatan, maka penulis amat menyarankan agar para calon jururawat mempelajari selok-belok yang sebenar dalam melepasi ujian temuduga dengan jayanya.

Konsep ujian temuduga jururawat agak berbeza dengan konsep temuduga-temuduga yang lain di luar sana, kerana perkara yang perlu diketahui sebelum memasuki bilik temuduga adalah:

1. Perlunya mengetahui bagaimana menulis resume terbaik untuk menunjukkan anda seorang jururawat yang layak dengan jawatan tersebut.

2. Mengetahui persediaan demi persediaan yang penting sebelum memasuki ke sesi ujian temuduga pemilihan jururawat.

3. Pelbagai soalan-soalan spesifik yang kerap ditanya ketika sesi temuduga jururawat. Kesemua soalan tersebut anda boleh dapati di sini:

Panduan Temuduga Jururawat

Pendek kata, ceburilah kerjaya jururawat dengan penuh bangga. Bidang jururawat bukanlah bidang murahan, malah ia satu bidang kerjaya yang amat mulia kerana menyantuni para pesakit dan memberikan harapan kepada mereka untuk sembuh dan lebih sihat selepas proses rawatan.

Semoga anda mendapat pahala bagi kesungguhan anda menjadi jururawat yang baik lagi berkemahiran yang sedia berbakti. Semoga berjaya.

Speak Your Mind

*