Kenapa Saya Tak Dapat Kerja? Saya Graduan Lulusan Universiti

Kenapa saya tak dapat kerja?

Ini adalah persoalan yang selalu bermain-main dalam fikiran para graduan yang cuba mengejar kerjaya impian. Malangnya, tidak semua orang bernasib baik mendapat kerja sebaik sahaja tamat pembelajaran.

Kenapa saya tak dapat kerja?

Ada yang terpaksa menghadiri pelbagai sesi temuduga sebelum mendapat kerja. Malah tak kurang juga yang memakan masa bertahun-tahun sebelum mendapat pekerjaan pertama.

FAKTOR GRADUAN SUKAR MENDAPAT KERJA

Yang menjadi persoalan adalah, kenapa saya tak dapat kerja? Mengapa amat susah untuk mendapat kerja? Apakah faktor-faktor yang menyebabkan sesetengah orang mudah mendapat kerja dan sebahagian pula melalui jalan yang amat sukar?

Untuk menjawab soalan sebegini, kita perlu berfikir secara rasional dan meluas. Tidak patut kita dengan senang-senangnya menuduh bakal majikan sebagai terlalu memilih, kerana setiap majikan sudah tentu mahu pekerja yang terbaik, sebagaimana kita juga mahu majikan kita adalah yang terbaik. Malah, tidak selamanya kita seharusnya menuduh orang lain dan merungut atas persaingan merebut pekerjaan yang semakin menakutkan.

Malah, aspek luaran juga kita harus fahami dan ambil pengajaran agar ia tidak selamanya menjadi penghalang kita untuk mendapat kerja. Dengan mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan kita mendapat kerja, barulah kita tahu apa yang perlu kita buat untuk mengatasi masalah ini.

FAKTOR PERTAMA – GRADUAN TERLALU MEMILIH KERJA

Kenapa Saya Tak Dapat Kerja? Saya Graduan Lulusan Universiti

Faktor pertama yang menyebabkan susah dapat kerja seseorang graduan itu adalah kerana terlalu memilih kerja. Saya faham bahawa setiap orang mempunyai impian sendiri dalam mengejar dunia kerjaya. Tetapi satu fakta yang perlu kita tahu adalah, dunia pekerjaan sekarang semakin sengit kerana ramai graduan merebut peluang yang sedikit. Oleh itu, apa salahnya anda cari kerja yang mana mudah dicapai dan sesuai dengan jiwa anda.

Bukanlah bermaksud kita perlu mengalah dan cari kerja ikut tangkap muat, tetapi yang dimaksudkan adalah berilah masa kepada diri sendiri untuk mencapai kerjaya idaman tersebut. Mungkin ia takkan dapat dicapai dalam masa setahun, maka sasarkanlah agar dapat beberapa tahun kemudian.

Maka, pada peringkat awal selepas tamat pengajian di kolej atau universiti, pentingkan dulu untuk dapat kerja yang setara walaupun ianya bukan dalam bidang pengajian anda dulu. Sekurang-kurangnya anda dapat membina pengalaman kerja, menambah kualiti resume anda seterusnya membuatkan anda lebih berdaya saing dalam dunia pekerjaan.

FAKTOR KEDUA – TIADA ILMU UNTUK BERKERJAYA

Faktor kedua yang boleh dianggap sebagai punca susah dapat kerja adalah kerana tidak mempersiapkan diri dengan ilmu kerjaya dan ilmu temuduga kerja.

Ilmu-ilmu sebegini amat penting supaya anda dapat menyaingi calon-calon lain ketika temuduga, sekaligus menjadikan anda sebagai pilihan terbaik untuk bakal majikan. Penting untuk diambil peringatan bahawa CGPA atau keputusan peperiksaan ketika belajar di institut pengajian tinggi dulu, belum tentu menjamin anda mudah lulus temuduga.

Terdapat banyak perkara yang dinilai oleh para penemuduga, yang daripada konteks itu dapatlah disimpulkan bahawa ilmu temuduga amatlah penting bagi memudahkan anda menonjolkan kelebihan anda dan meyakinkan mereka ketika proses temuduga.

Antara contoh yang boleh diberikan adalah persediaan sebelum temuduga seperti membuat tinjauan awal tempat temuduga sehari sebelum temuduga, mengetahui jenis pakaian yang sesuai, warna baju yang lebih menarik perhatian penemuduga, jenis tali leher yang sesuai dengan baju anda pakai, teknik-teknik menghilangkan gemuruh ketika temuduga, soalan-soalan yang kerap ditanya ketika temuduga dan ayat-ayat yang perlu anda gunakan untuk meyakinkan bakal majikan anda.

Melalui senarai ini, kita boleh menilai betapa pentingnya ilmu menghadapi temuduga, malah ilmu berkenaan temuduga amatlah luas dan kadangkala setiap bidang kerjaya mempunyai cara penilaian calon yang berbeza-beza. Justeru, tuntutlah ilmu temuduga sebaiknya.

FAKTOR KETIGA – TIDAK KAJI SELIDIK PASARAN PEKERJAAN SESUAI

Faktor ketiga yang boleh diambilkira sebagai punca kegagalan seseorang susah dapat kerja adalah tidak mengkaji selidik pasaran dan peluang pekerjaan yang sesuai dengan anda. Sesuatu pekerjaan bukan sekadar dicari berdasarkan latar belakang akademik dan fakulti pengajian ketika belajar di IPT kolej atau universiti dulu, tetapi kerjaya yang dicari boleh juga dicari berdasarkan aspek-aspek lain.

Sebagai contoh, pekerjaan boleh dicari berdasarkan bakat atau kelebihan yang ada pada anda. Jika anda seorang yang peramah, mungkin anda sesuai untuk menjadi seorang agen pemasaran di sesebuah syarikat. Jika anda sangat teliti dengan maklumat dan detail tentang kajian research, mungkin anda sesuai menjadi seorang pembantu research atau seorang setiausaha atau PA iaitu pembantu bos syarikat. Begitu juga jika anda mempunyai kelebihan dalam menulis, menjadi seorang editor juga adalah pilihan yang baik di samping menjadi seorang penterjemah buku.

Selain itu, aspek minat dan kecenderungan juga antara perkara yang boleh dijadikan landasan dalam mencari kerja di mana-mana syarikat. Andaikata anda berminat dengan gajet dan teknologi, menjadi pembantu kedai telefon pintar adalah antara kerjaya yang anda boleh pilih sebagai permulaan.

Selain itu, jika anda berminat mengajar dan suka kepada kanak-kanak, maka menjadi pengajar di tadika kanak-kanak adalah pilihan yang cukup baik. Malah, kecenderungan seseorang kepada pemakanan dan suka memasak, mungkin sesuai menjadi seorang chef mana-mana restoran terkenal. Siapa tahu.

KENAPA SAYA TAK DAPAT KERJA – APA KATA ANDA?

Pendek kata, setiap orang seharusnya berusaha bersungguh-sungguh mencari kerja demi mencari rezeki. Faktor tempat kerja yang jauh, berjauhan dengan keluarga atau bidang kerja yang ditawarkan tidak bersesuaian dengan latar belakang akademik bukanlah alasan yang sah untuk anda merungut sukarnya mendapat kerja.

Memang lumrah ada kesusahan perlu ditempuhi demi mencari kerja. Asalkan anda pandai menyesuaikan diri dan tidak takut kepada perkara baru, sesiapa sahaja boleh mendapat kerja demi menampung kehidupan yang semakin mencabar hari ini.

Jadi, apa kata anda tetang susah dapat kerja?

Speak Your Mind

*