Kerja Swasta vs Kerja Kerajaan: Apa Pilihan Graduan

Bagi para graduan yang baru menamatkan pengajian di kolej atau universiti, adalah satu dilema bagi mereka untuk memilih sama ada untuk bekerja di sektor swasta atau sektor kerajaan. Boleh dikatakan kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing.

Oleh itu, bagi mereka yang masih terkial-kial memikirkan kerja swasta atau kerja kerajaan yang terbaik, mungkin boleh memikirkan aspek-aspek kelebihan masing-masing yang penulis akan cuba ketengahkan di sini.

PILIHAN JAMINAN KERJA

Faktor utama yang menjadi pertimbangan para graduan yang memilih sektor kerajaan adalah dari segi jaminan kerja dan ketetapan pencen yang akan diperolehi selepas tamat berkhidmat. Memang tak dapat dinafikan bahawa ini adalah antara aspek utama yang dipandang oleh mereka yang menginginkan kerja kerajaan. Tetapi, jika dilihat dari sudut lain, sektor kerajaan juga menawarkan pulangan dan faedah yang tidak kurang hebatnya.

Bukanlah bermakna pekerja swasta tiada simpanan, malah mereka juga ada KSWP yang akan menyimpan wang mereka. Malah, jika seorang graduan bijak memilih kerja dan sentiasa meningkatkan prestasi kerja ke tahap maksimum, adalah tidak mustahil untuk memiliki kenaikan gaji yang lebih baik.

Ini disebabkan oleh sektor swasta tidak mempunyai had batasan gaji untuk diberikan oleh majikan, malah kadangkala boleh memberikan kenaikan gaji yang tidak kurang hebatnya. Selain itu, pekerja swasta juga dilindungi dengan pelbagai akta dan tidak mudah sebenarnya untuk sesebuah syarikat memecat para pekerjanya tanpa sebab.

Maka penulis suka untuk tegaskan bahawa rezeki ada di mana-mana, dan tidak semestinya sektor pekerjaan yang dipilih itu menawarkan rezeki lebih baik daripada orang lain. Faktor tempat kerja swasta yang lebih dekat dengan kampung kerana banyak pilihan dan bebas menukar kerja jika tidak berpuas hati setelah melalui proses makluman tiga bulan, kadangkala nilainya jauh lebih tinggi berbanding wang ringgit yang menjadi ukuran.

PILIHAN BANDINGAN ILMU DAN PENGALAMAN

Dari sudut ilmu dan pengalaman, kedua-duanya mempunyai faktor unik yang tersendiri. Bagi mereka yang mementingkan pengalaman dan sektor perkhidmatan yang kebanyakannya disediakan di sektor kerajaan, mungkin akan memilih bekerja dengan kerajaan. Malah, cabaran sektor kerajaan juga tidak kurang hebatnya dari sudut memuaskan pelanggan, menjaga kualiti perkhidmatan dan tidak boleh sewenang-wenangnya berlengah dalam menyiapkan tugasan yang diberi.

Bagi mereka yang bekerja di sektor swasta, pilihan graduan pekerjaan adalah amat luas dan setiap syarikat swasta menawarkan pengalaman dan suasana yang berbeza. Bagi sesetengah mereka yang pentingkan cabaran berbeza dan pengalaman yang lebih luas, mungkin sektor swasta adalah pilihan yang lebih baik untuk anda.

Malah, sudah ramai pekerja kerajaan yang berhenti kerja kerana lebih suka dengan suasana bekerja di tempat swasta yang lebih banyak warna dan meningkatkan diri dalam bidang masing-masing dengan cara tersendiri.

PILIHAN KEBEBASAN DAN KEPUASAN BEKERJA

Kerja Swasta vs Kerja Kerajaan: Apa Pilihan Graduan

Selain itu, faktor kebebasan dan tempat kerja juga menjadi faktor kepuasan seseorang pekerja. Bagi mereka yang bekerja sebagai guru di sektor kerajaan, mereka perlu bersabar kerana kadangkala mereka akan ditugaskan jauh ke pedalaman, malah ada pekerja semenanjung yang terpaksa dipindahkan ke Sabah dan Sarawak yang teramat jauh, atau sebaliknya.

Disebabkan kongkongan ini, mungkin ada sesetengah graduan tidak selesa untuk bertugas jauh dari kampung halaman, maka memilih sektor swasta. Begitu juga dari sudut menukar kerja, pekerja swasta boleh berhenti dan tukar kerja setelah melalui prosedur yang ditetapkan, berbanding kakitangan kerajaan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya sebelum dapat ditukarkan ke negeri yang diidamkan.

Namun begitu, usah risau kerana pekerjaan dengan kerajaan juga ada menawarkan kebebasan tertentu seperti peluang melanjutkan pembelajaran, masih diberi peluang memohon ikut suami dan akan diberikan tugasan yang setimpal dengan kemampuan dan kemahiran mereka.

FAKTOR PILIHAN PERIBADI

Faktor seterusnya yang graduan fikirkan dalam memilih sektor pekerjaan adalah faktor bersama keluarga. Sebahagian syarikat-syarikat swasta amat menekan para pekerjanya agar menyiapkan tugasan, mengejar tarikh akhir dan akhirnya mereka terpaksa menambah waktu kerja. Malah tekanannya lebih tinggi berbanding bekerja di sektor kerajaan.

Walaubagaimanapun, tekanan dan pertambahan kerja hendaklah dianggap sebagai cabaran biasa dalam dunia pekerjaan. Malah, usah dianggap kerja kerajaan sentiasa nampak mudah. Malah, mereka juga ada cabaran tersendiri dalam melayan kerenah pelanggan, anak murid atau bos mereka, tidak kurang juga yang asalnya bekerja sehingga tamat sekolah, terpaksa menambah waktu kerja tanpa bayaran kerana program, aktiviti dan keperluan yang mendesak.

Pendek kata, setiap tempat kerja dan pilihan graduan ada cabaran masing-masing. Tinggal lagi sama ada kita mahu menyerap tekanan dan komited kepada kerja tanpa banyak merungut. Anggaplah ini sebagai peluang meningkatkan kecekapan kerja di samping melatih menjadi pekerja yang tahan lasak lagi berdikari dalam apa jua tugasan yang diberi.

KESUKARAN MENDAPATKAN KERJA

Faktor terakhir yang selalu menjadi perkiraan sebahagian graduan adalah faktor kesukaran mendapat sesuatu kerja.

Terdapat ramai graduan yang pasrah bekerja di sektor swasta secara terpaksa sedangkan keinginannya amat membuak-buak untuk bekerja di sektor kerajaan. Namun disebabkan peluang yang terhad dan persaingan yang ramai yang merebut jawatan kerajaan, maka mereka meneruskan pekerjaan di syarikat swasta.

Pendek kata, mereka tiada pilihan. Kadangkala pilihan graduan terpaksa dibuat secara terpaksa kerana tiada pilihan. Semua orang boleh membuat pilihan sama ada mahu bekerja di syarikat swasta atau dengan kerajaan, namun faktor rezeki dan peluang yang ada menyebabkan mereka akur sahaja dengan pilihan yang ada. Walau bagaimanapun, ada juga kes sebahagian calon yang sukar mendapat kerja di sektor swasta, sebaliknya amatlah mudah perjalanannya mendapat kerja kerajaan. Apabila sampai ke tahap ini, maka bertawakallah setelah berusaha. Setiap orang ada rezeki yang dijamin oleh Allah.

Comments

  1. Saya nak tanya bagi graduan daripada kolej swasta ada peluang tak untuk memohon kerja kerajaan?

Trackbacks

  1. […] impian sendiri dalam mengejar dunia kerjaya. Tetapi satu fakta yang perlu kita tahu adalah, dunia pekerjaan sekarang semakin sengit kerana ramai graduan merebut peluang yang sedikit. Oleh itu, apa salahnya […]

Speak Your Mind

*